Saturday, October 17, 2009

.:: Ku Melafazkan Kata Penuh Makna ::.

(Khabar Dari Nafsu Buat Iblis)

Ke hadapan saudaraku Iblis dan Syaitan,

Mungkin ketika ini kau di ambang nazak seksaan dan rantaian di dalam neraka Jahannam itu. Aku tahu mungkin sekali kalian menderita jiwa dan batin kerana terpaksa hidup dalam kurungan maha dahsyat itu selama satu bulan lamanya. Tapi usahlah kau risau, satu bulan itu sekejap sahaja. Percayalah. Tujuan aku melayangkan warkah ini adalah untuk menggembirakan, atau lebih tepat lagi, menghilangkan kesedihan kau dalam kedahsyatan azab neraka di atas sana. Di sini, aku ceritakan kisah musuh-musuh nyata kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Aku yakin kau pasti berterima kasih kepada aku kerana berjaya menghasut mereka. Semuanya semudah ABC dan sepantas kerlipan mata.


Pertama. Ada dalam kalangan musuh kita yang sememangnya tidak pernah insaf dan sepertinya tidak mahu bertaubat pun; langsung tidak berpuasa di bulan Ramadhan ini. Ini senang sahaja. Sebab aku jadikan mereka lupa akan Azab yang maha dahsyat yang bakal mereka hadapi lepas kematian mereka nanti. Azab kubur plus azab di padang Mahsyar plus Azab Neraka. Mereka tanpa segan silu meninggalkan salah satu rukun islam. Aku amat kasihan kepada mereka. Andainya mereka tidak sempat bertaubat sebelum datangnya ajal kematian mereka, tidak dapat aku bayangkan betapa azabnya Seksaan neraka seperti yang pernah aku alami dahulu. Apakah mereka tidak tahu yang aku ini hanya dapat ditundukkan dengan berpuasa ?? Tidakkah mereka pernah mengetahui tentang cerita aku suatu masa dahulu ketika mana aku dicampakkan ke dalam Neraka yang maha dahsyat seksaan dan keperitannnya ?? Sungguh aku mentertawakan kaum manusia yang lupa dirinya akan mati juga akhirnya. Sedangkan berita-berita kematian setiap hari terpampang di dada akhbar.


Kedua. Ada juga kaum manusia itu yang berpuasa tapi mereka lupa mereka berada dalam Rahmat dan Berkatnya Bulan Ramadhan. Tidak mereka mengambil kesempatan untuk menambah amalan kebaikan, mereka malahan memberatkan lagi neraca timbangan Dosa mereka. Aduh, sungguh sempit fikiran mereka. Tidak ku sangka semudah ini menyesatkan umat manusia walaupun tanpa pertolongan kau saudaraku, Iblis. Kalau beginilah keadaannya, aku pasti, akan ramai umat manusia menghuni Neraka Jahannam nanti bersama-sama dengan kau Iblis. Ramai sekali. Tidak takutkah mereka ?? Yang kelakarnya, mereka nampaknya lebih takut kepada hantu. Apa mereka tidak tahu yang hantu-hantu itu cuma lakonan kalian semata-mata. Aku tertawa lagi kepada mereka. Apalah gunanya akal mereka yang kononnya bijak itu.


Tampaknya makin hangat cerita aku. Mereka yang berpuasa itu, seperti yang aku katakan, lupa yang bulan ini bulan Ramadhan; nampaknya pergaulan bebas mereka tidak juga berkurang, malahan aku lihat mereka yang jarang bergaul bebas semakin berani bergaul bebas. Memang mereka lupa mereka berpuasa. Menyedihkan. Tambahan lagi, pasangan-pasangan cinta yang aku fikir akan berhenti di bulan puasa ini, rupa-rupanya mereka makin intim. Apakah mereka tidak tahu yang cinta yang belum diredhai Allah itu mana mungkin akan diberkati di bulan Ramadhan ini andai tiada ikatan yang halal di sisi Allah ? Usaha mu Iblis memang berjaya menyesatkan hati-hati yang ketandusan kasih dan sayang. Engkau Iblis, memang penyesat universal. Tertawa lagi aku.


Aku kasihan sekali pada mereka yang berpuasa, tetapi, solatnya tidak dijaga, mereka tidak merasa apa-apa jika melambatkan solat. Yang amat menyedihkan, mereka melambatkan solat, bukanlah kerana mengalunkan kalam suci Allah, tapi kerana terlalu asyik melayan drama-drama dan filem yang menyeronokkan aku, Nafsunya ini. Panggung wayang apatah lagi, sepertinya sentiasa sahaja penuh dengan umat manusia yang lupa dirinya sentiasa di dalam kerugian melainkan orang yang beriman. Aku berterima kasih sekali kepada saudara kita di Israel dan Amerika sana. Mereka memang anak buah yang patuh kepada mu Iblis. Kalau beginilah, kaum mu Iblis tidak perlu bekerja keras lagi, kerana umat manusia itu sendiri yang saling menyesatkan antara satu sama lain ! Mudahnya. Sungguh pelupa mereka.


Ada juga mereka yang berpuasa tetapi langsung tidak menambah amalan sunat di bulan ini, malahan mereka lebih terhibur dengan amalan-amalan yang melalaikan. Mahu mendengar alunan suci kalam Al Quran pun sangat memberatkan telinga mereka, apatah lagi membaca walau satu mukasurat dari kitab Al Quran. Bisu sungguh mulut dan hati mereka. Sungguh kalau mereka tahu Al Quran itu sangat hebat kesannya kepada hati, jasad, kehidupan dunia dan kehidupan akhirat; pasti gagal rancangan aku dan kau Iblis ! Kasihan sungguh.


Ada juga umat manusia itu yang sanggup berjaga malam hanya kerana hatinya lalai dengan hiburan yang langsung tiada faedahnya kepada iman mahupun ilmu dalam dada. Mereka langsung lupa untuk bertahajjud. Sehingga terlepas juga sahur mereka. Apakah mereka lupa kepada pesan Rasul mereka. Apakah mereka tidak sedar yang mereka sedang menghina ajaran Rasul dalam diam-diam ? Alangkah ruginya. Sesungguhnya mereka sentiasa dalam kerugian.



Yang paling membahagiakan aku, nafsunya ini, ialah ketika waktu berbuka puasa. Aku merasa puas. Segala macam makanan dan minuman dapat aku alami. Malahan umat manusia itu selalu sahaja membazir dalam bab membeli dan menyediakan juadah berbuka mereka. Yang puasnya pastilah aku. Aku dilayan dengan baik sekali. Umat manusia itu lupa lagi yang perut mereka hanya memerlukan 1/3 ruang sahaj untuk makanan. Tapi demi aku, Nafsunya, 3/3 perut itu penuh dengan makanan. Maka menjadi malaslah mereka untuk beribadat. Mudah sekali mereka tersesat lagi. Bukankah bagus kalau wang yang digunakan untuk membeli makanan yang lebih itu, disedekahkan sahaja. Sempitkah fikiran mereka? Pasti kau berbangga dengan aku, wahai Iblis sahabatku.


Di sini sahaja coretanku buat minggu pertama ini. Aku akhiri dengan satu sajak agar kau tidak lupa bagaimana manusia itu.

Pandangan mata selalu menipu,
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itu yang hakiki.


Yang gembira dan tertawa,
Nafsu Durjana


( this posting is delayed a little late )

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home